"Sayang!! nanti kita jumpa di Syurga..."
Petang itu, saya menerima satu panggilan telefon. Pemanggil tersebut meminta saya mengururuskan jenazah ibunya.
Apabila sudah diamanahkan, tanpa berlengah saya bergegas ke rumah pemanggil tersebut yang letaknya tidak jauh dari kediaman saya. Saya tiba ketika hari sudah lewat petang. Org ramai yang terdiri daripada sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan sudah memenuhi kediaman tersebut.
Saya melangkah masuk bertemu dengan suami dan anak-anak Allahyarhamah. Selepas berbicang kami mendapat kata sepakat, jenazah akan diuruskan keesokan harinya kerana hari sudah lewat, bertukar malam.
Petang itu jenazah hanya dibersihkan dengan mengelap tubuhnya menggunakan kain sambil dibantu anak-anaknya seramai empat orang, dua lelaki dua perempuan. Semuanya sudah besar dan ada antaranya sudah berkahwin.
Esoknya seawal pagi saya sampai ke rumah itu. Apabila mahu memandikan jenazah, salah seorang anak datang pada saya. "Boleh tak kami nak mandikan sendiri jenazah ibu kami?" tanya si anak.
“Boleh” jawab saya. Senang hati mendengar permintaan si anak.
Memang itulah sebaik-baiknya. Lebih afdal anak sendiri yang uruskan jenazah ibu bapa mereka.
“Tapi Ustazah, kami ni tak pandai. Kami tak tahu apa-apa. Ustazah ajarlah kami," beritahu seorang lagi anak perempuan.
“Tak ada masalah, saya boleh bagi tunjuk ajar,” jawab saya.
Ingatkan anak perempuan saja, rupanya dua anak lelaki dan suami Allahyarhamah pun mahu turut serta memandikan.
Sudah itu permintaan mereka, saya bersetuju. Lagipun Islam tak melarang, memang suami boleh memandikan jenazah isterinya dan begitulah sebaliknya.
Namun, disebabkan anak-anak lelaki mahu memandikan sama-sama, saya terpaksa bahagikan tugas. Si suami, saya minta bersihkan bahagian kepala. Anak lelaki bahagian kaki dan anak perempuan dari bahagian badan membawa ke paha.
“Ambil sarung tangan ni seorang satu,” ujar saya smbil menghulurkan sarung tangan getah untuk digunakan bagi memandikan jenazah. Tapi si suami dan anak-anak menolak.
“Masa kecil, ibu mandikan kami tak pernah pakai sarung tangan. Kami tak mahu pakai,” tolak si anak lembut.
Saya sedikit tersentak mendengar kata-kata itu. Kagum dengan jawapan si anak. Terharu saya mendengarnya.
Kemudian, saya pegang paip getah dan lalukan air ke muka jenazah. Si suami mula bersihkan wajah isterinya. Ketika si suami membersihkan wajah isterinya, satu drama yang menyayat hati dan penuh emosi berlaku.
Sambil menggosok lembut wajah jenazah isterinya, si suami mengungkap kembali satu persatu segala kenangannya ketika mereka hidup bersama.
“Sayang... inilah wajah manis yang abang tatap masa hidup. Inilah wajah yang abang pernah sayang. Wajah yang pernah jadi isteri abang,” tutur suami sambil tangannya lembut membersihkan wajah jenazah isteri tercinta.
Selesai muka, suami tadi beralih pula ke mulut. Sekali lagi ungkapan manis terpacul dari mulut si suami.
“Sayang... inilah mulut yang selalu senyum pada abang. Inilah mulut yang selalu berbual dengan abang, hiburkan abang selama ni. Mulut yang berikan abang semangat ketika berdepan masalah,” ungkapanya dengan linangan air mata.
Saya yang menyaksikan tindakan spontan suami itu turut menjadi sebak, terharu mendengar kata-kata ikhlas dari suaminya. Saya tahu si suami benar-benar sayangkan isterinya.
Selesai bahagian si ayah, dua anak perempuannya pula mengambil tempat. Sekali lagi hati saya tersentuh hingga jadi sebak. Sambil membersihkan tangan si ibu, anaknya meluahkan segala jasa-jasa ibu mereka.
“Ibu, inilah tangan yang besarkan kami, didik kami. Tangan inilah yang suapkan makanan ke mulut kami. Inilah tangan yang dodoikan kami, jari jemari ini yang kesatkan air mata kami. Tangan ini juga yang dukung kami sewaktu kecil. Ibu, jasa ibu amat besar,” tutur seorang anak perempuannya. Air matanya masih mengalir.
Apabila sampai ke perut, seorang lagi anak perempuannya bersuara.
“Ibu, inilah perut yang mengandungkan kami, terima kasih ibu lahirkan kami, didik dan besarkan kami,” ungkap si anka tersebut. Air mata mereka terus berjejeran.
Bukan hanya mereka, saudara mara yang menyaksikannya turut menangis, apatah lagi saya yang berada di sisi mereka.
Sungguh, waktu itu terasa begitu hening. Suasana sangat pilu. Menyaksikan semua kata ikhlas ini dari suami dan anak-anak si mati.
Apabila selesai tugas anak perempuan, anak lelaki pula melunaskan bahagian mereka. Sambil membersihkan kaki, mereka meluahkan segala jasa-jasa wanita yang yang melahirkan mereka itu.
“Ibu, inilah kaki yang berjalan mencari rezeki untuk kami. Kaki inilah yang besarkan kami. Kaki inilah yang bawa kami bersiar-siar, hiburkan kami. Jasa ibu tak terbalas. Terima kasih ibu,” ujar anak lelaki dengan suara tersekat-sekat.
Menyaksikam semua itu, air mata saya tak dapat dibendung lagi. Sesekali saya berpaling ke arah lain, mengesat air mata yang kian laju mengalir.
Sudah banyak jenazah yang saya uruskan, tapi inilah kali pertama saya saksikan adegan yang meruntum jiwa. Hati saya tersentuh hiba.
Apabila semua anak sudah selesai, saya mengambil giliran semula. Saya mahu membersihkan bahagian dubur. Tapi si suami menolak kerana dia mahu lakukan sendiri.
“Ni isteri saya, biar saya yang buat. Ustazah ajarkan saya,” tutur si suami.
Sekali lagi saya akur dengan kehendaknya. Saya arahkan si suami supaya menekan perut secara perlahan-lahan untuk mengeluarkan najis di dubur.
Semasa si suami melakukannya, sekali lagi jiwa saya bagai dirobek-robek. Jiwa saya tersentuh mendengar lafaz ikhlas suaminya. Sambil menekan lembut perut isterinya, si suami bersuara lagi..
“Sayang, inilah rahim yang melahirkan anak-anak kita, yang memberikan zuriat pada kita, terima kasih sayang,” tutur si suami lembut dengan matanya berkaca-kaca.
Sekali lagi air mata saya tertumpah. Di luar pula, air mata saudara mara yang menyaksikan drama itu semakin laju.
Saya tahu semua yang menyaksikannya terharu. Saya sendiri sebagai seorang anak turut tersentuh dengan sikap keluarga ini. Sungguh suaminya memang seorang yang baik dan sangat menghormati jasa seorang wanita bergelar isteri.
Selesai dimandikan dengan drama-drama meruntum jiwa, jenazah dibawa ke ruang tamu untuk dikapankan pula.
Pun sama, kerja ini dilakukan oleh anak-anak dan suami arwah dengan tunjuk ajar saya. Walaupun mengambil masa agak lama semuanya selesai dengan mudah sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.
Tugas ini saya serahkan pula pada suami saya. Selepas kubur dikambus dan suami saya hendak memulakan bacaan talqin, suami Allahyarhamah datang meminta izin.
“Ustaz, boleh ke saya nak bacakan talqin untuk isteri saya? Tanyanya pada suami saya.
Suami saya mengangguk dan si suami tadi mengambil tempat di sebelahnya, dalam keadaan suara yang serak kerana masih bersedih,csi suami tadi memulakan bacaan. Bacaan kali ini memang lain sekali dari kebiasaannya.
“Sayang, hari ini adalah hari terakhir kamu di muka bumi ini. Kamu berpisah dengan anak-anak, kamu berpisah dengan abang. Sayang, malam ini abang akan berteman hanya dengan anak-anak di sisi abang.
“Sayang, nanti akan datang malaikat mungkar dan nakir bertanya. Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Siapakah saudara-saudara kamu?
“Abang minta tolong dengan sayang jawablah dengan tenang, dengan lidah lancar bahawa Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam Agamaku, Al-Quran Petunjukku, Orang Islam adalah saudara-saudaraku,” tutur si suami dengan sebak.
Si suami tadi menyambung, nanti kita akan jumpa di syurga. Sayang tunggu abang di syurga. Abang akan tetap merindui hingga akhir hayat abang.
Sungguh waktu itu sekali lagi air mata saya berderai, bukan saya sahaja, hadirin lain pun sekali lagi menangis. Saya tahu mereka menangis dan bersedih bukan kerana pemergian Allahyarhamah, tapi tersentuh melihat kejadian tersebut.
Satu drama yang benar-benar berlaku, memperlihatkan kasih sayang, kejujuran, kesetiaan dan cinta yang tulus ikhlas dari seorang suami kepada isteri. Kisah kasih sayang antara anak-anak, dan ibu dalam keluarga ini.
Saya benar-benar kagum dan terharu dengan keluarga tersebut. Si anak bukanlah berpendidikan tinggi atau berlatarbelakangkan agama seperti bergelar ustaz atau ustazah, tapi mereka semua mempunyai budi perkerti dan akhlak yang tinggi.
Lihat bagaimana mereka menghargai jasa seorang ibu sehingga ke akhir hayat. Bagi saya mereka jadi begitu hasil kejayaan didikan seorang ibu yang berjaya memberikan kasih sayang dan didikan dengan sempurna.
Sungguh, jenazah wanita itu seorang yang bertuah memiliki suami dan anak-anak seperti itu...
Allahuakbar...
Comments
Post a Comment