Apa itu berjaya, siapa orang yang berjaya?


Berapa ramai orang menangis kerana pemberian Allah terlambat datang kepada mereka, akan tetapi mereka tidak pernah menangis ketika mereka selalu terlambat datang kepada Allah di saat panggilan Allah lima kali sehari datang kepada mereka.

Berapa ramai orang yang sedih ketika melihat rumah mereka kosong dari perabut rumah dan harta lainnya yang merupakan pemberian dari Allah, tetapi mereka tidak pernah sedih ketika rumah mereka kosong dari amalan-amalan sunnah yang dianjurkan oleh Allah dan dicontohkan oleh Rasul-Nya.

Berapa ramai orang yang bersungguh-sungguh merawat kecantikan rupa dan bentuk tubuhnya, tetapi di saat itu juga mereka telah melumuri hatinya dengan kotornya dosa.

Saudaraku...! Seberapa banyak dunia ini anda miliki pilihan hanya dua; anda akan ditinggalkan oleh dunia itu atau pasti anda akan meninggalkan dunia ini. Dan seberapa jauh anda telah melupakan kehidupan akhirat, cepat atau lambat pasti anda akan sampai ke sana, dan pilihannya hanya dua; anda akan bahagia selamanya atau engkau akan menderita selamanya.

Oleh itu, marilah kita bertanya kepada Allah siapakah sebenarnya orang yang berjaya itu? Lalu temuikan jawapannya dalam ayat al-Quran, Q.S. 33/71;

"Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia telah meraih kejayaan yang besar".

Renungkanlah ayat ini, maka anda akan mendapatkan penjelasan dari hati nurani anda, bahawa kejayaan bukanlah apabila kita telah meraih apa yang kita inginkan dalam kehidupan dunia ini.

Kejayaan bukanlah apabila kita telah memiliki rumah mewah, kereta mahal dan nama yang terkenal. Kejayaan bukanlah apabila kita telah meraih kekuasaan yang tinggi. Kejayaan bukanlah apabila anda telah mendapatkan apa saja yang manusia anggap sebagai kejayaan.

Namun, kejayaan yang sebenarnya adalah apabila anda telah meraih apa yang Allah katakan sebagai kejayaan yang besar, iaitu apabila anda telah mampu meletakkan kehidupan anda dan keluarga anda dalam ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Adapun semua yang disebutkan di atas, yang telah dianggap sebagai sebuah kejayaan oleh manusia, sebenarnya dalam al-Quran tidak disebut sebagai kejayaan, tetapi sebagai UJIAN dari Allah SWT. Sungguh teramat jauh perbezaannya antara ujian dan kejayaan. Orang yang masih berada dalam masa ujian belum boleh dikatakan sebagai orang berjaya, tapi orang yang berjaya sudah pasti ia telah lulus ujian.

Al-Quran telah memuat kisah orang-orang berjaya sebagai uswah dan qudwah untuk seluruh lapisan umat manusia di akhir zaman.

Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s adalah model orang-orang yang berjaya. Keduanya dianggap berjaya bukan kerana mereka menjadi raja dan kaya raya, tetapi mereka dianggap berjaya kerana ketika mereka telah menjadi raja dan menjadi kaya raya mereka semakin taat kepada Allah SWT.

Ertinya ketika mereka diuji oleh Allah dengan harta dan kekuasaan, semua itu tidak melalaikan dirinya untuk taat kepada Allah SWT.

Nabi Isa a.s adalah model orang yang berjaya. Padahal ia seorang nabi yang sangat miskin. Ia dikatakan berjaya bukan kerana kemiskinannya, akan tetapi ia menjadi berjaya kerana ketika ia diuji dengan kemiskinan itu ia tetap taat kepada Allah SWT.

Nabi Yusuf a.s adalah model orang berjaya. Ia menjadi berjaya bukan kerana ia tampan rupawan dan memegang perbendaharaan kerajaan Mesir, tetapi ia menjadi berjaya kerana ketika ia diuji dengan ketampanan dan kekayaan ia tetap berada dalam ketaatan kepada Allah.

Nabi Ayyub a.s adalah model orang berjaya. Padahal ia memiliki penyakit yang sangat parah. Ia menjadi berjaya bukan kerana penyakit yang dideritainya, tetapi ketika dia diuji dengan penyakit dia tetap sabar dan tetap taat kepada Allah.

Begitulah Allah SWT menjelaskan kepada kita dalam al-Quran mengenai apa itu BERJAYA dan siapa ORANG-ORANG YANG BERJAYA itu. Sehingga kita hanya mengejar kejayaan yang ditunjukkan oleh Sang Pencipta kita.

Kemudian saudaraku.. renungkan firman Allah ini, surat Ali Imran ayat 185;

"Setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Dan hanya pada hari kiamatlah akan disempurnakan balasanmu. Barangsiapa di jauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia telah meraih kejayaan. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang sementara".

Comments

Popular posts from this blog

Amalkan zikir Rabbaniyah setiap hari

Buya Hamka: Guru Hati

"Sayang!! nanti kita jumpa di Syurga..."