Juzuk 26: Surah Muhammad: Ayat 7 -9


Juzuk 26: Surah Muhammad: Ayat 7 -9

Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ (٧)

"Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."

وَالَّذِينَ كَفَرُوا فَتَعْسًا لَهُمْ وَأَضَلَّ أَعْمَالَهُمْ (٨)

"Dan orang-orang yang kafir, maka celakalah mereka, dan Allah menghapus segala amalnya."

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ (٩)

"Yang demikian itu kerana mereka membenci apa yang diturunkan Allah (Al Quran), maka Allah menghapus segala amal mereka."

Tafsir ringkas:

1) Ayat ini merupakan perintah Allah kepada kaum mukmin agar mereka menolong agama-Nya, berdakwah kepada-Nya dan berjihad melawan musuh-musuh-Nya dengan mengharapkan keredhaan-Nya.

2) Menolong agama Allah bermaksud berusaha menerapkan syariat dan manhaj-Nya sehingga Islam menguasai dunia dan mewarnai seluruh sendi-sendinya dengan nilai-nilai kebaikan yang ada di dalamnya dan mengalahkan pelbagai nilai-nilai jahiliah yang rendah.

3) Allah menjanjikan bahawa barang siapa yang menolong agama-Nya baik dengan ucapan ataupun perbuatan, maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan mereka, yakni menguatkan mereka dengan kesabaran, ketenangan dan keteguhan serta menolong mereka terhadap musuh mereka.

4) Allah juga mengutuk orang-orang yang kafir kepada-Nya dan membela yang batil, yang bertujuan untuk mengalahkan kebenaran sehingga tipu daya itu kembali ke leher-leher mereka.

5) Allah juga tidak akan menerima amalan orang-orang kafir, bahkan kecelakaan yakni kebinasaan dan kekecewaanlah yang akan mereka terima.

6) Allah tidak akan memberi pahala di atas amalan mereka dan tidak memberi petunjuk dan hidayah kerana mereka membenci Al Quran yang diturunkan Allah, sedangkan Al Quran itu mengandungi petunjuk agama untuk memperbaiki kehidupan mereka. Tetapi mereka malah menolaknya, membencinya dan tidak suka kepadanya.

Pengajaran:

1. Menolong agama Allah bukan sekadar dengan banyaknya solat, zakat, sedekah, puasa! Orang yang hanya solat, zakat, puasa dan lain-lain, tapi enggan menolong agama-Nya adalah orang yang sombong dan mementingkan diri sendiri serta lemah imannya. 

2. Menolong agama Allah adalah dengan berjihad di jalan-Nya, berdakwah menyeru kepada jalan-Nya, dan dengan membantu orang-orang yang melaksanakan kedua-duanya.

3. Janganlah kita berkira-kira untuk membantu agama Allah kerana setiap kali kita membantu agama Allah, maka Allah akan memudahkan segala urusan kita dengan memberi kesabaran, ketenangan dan pertolongan dalam menghadapi sesuatu perkara.

4. Sentiasalah mendukung gerakan Islam dan mengambil bahagian di dalamnya dengan memberi sumbangan mengikut kepakaran kita.

5.  Jangan bersekongkol dan  mendukung organisasi-organisasi yang berhaluan sekular, pluralis dan liberal. Janganlah kita menjadi seperti orang kafir atau membantu dan bekerjasama dengan mereka yang membela kebatilan kerana Allah mengutuk perbuatan tersebut dan segala amalan mereka tidak akan diterima dan amalan mereka ibarat debu-debu berterbangan.

6. Semarakkan gerak kerja dakwah amar makruf nahi mungkar. Berusaha menangkis fitnah dan pembohongan yang dilaungkan oleh media-media kafir dan sebarkan kebenaran baik melalui lisan mahupun tulisan.

7. Teruskan memboikot produk-produk yang mendukung gerakan yang merosak dan memusuhi Islam, seperti gerakan zionist, evangelist dan sebagainya.

8.  Kita mestilah yakin dengan pertolongan dari Allah dan tidak gentar untuk menentang musuh Allah kerana bantuan Allah sentiasa akan tiba sepertimana yang telah berlaku di dalam peperangan Badar, Uhud dan peperangan yang lain.

9. Jadilah dermawan yang pemurah. Sentiasa berinfaq menyumbangkan kewangan dan tenaga kepada gerakan Islam, NGO-NGO Islam dan institusi Islam seperti sekolah agama, tahfiz, rumah anak-anak yatim dan sebagainya.

10. Teruskan berdoa kepada Allah semoga kita istiqamah di dalam memperjuangkan agama Islam dalam apa jua keadaan.

Rujukan: Tafsir Al Azhar, Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.

Comments

Popular posts from this blog

Apa itu berjaya, siapa orang yang berjaya?

Balasan Allah kepada mereka yang suka aib dan hina orang lain